CREDIT
SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Pengerusi
Gabungan Peguam Hartanah Rakyat (GEMPHAR)
============================================
AYAH NAK PINDAMILIK TANAH PERTANIAN 1 EKAR KEPADA 4 ORANG ANAK. BOLEH ATAU TIDAK?
Saya pernah diajukan soalan lebih kurang begini.
“Ayah saya ada tanah pertanian seluas 1 ekar. Saya ada 4 orang adik beradik. Boleh kah kalau ayah saya nak pindah milik kan tanah 1 ekar tu kepada 4 orang adik beradik saya?”
Jawapan saya:
1. Menurut Seksyen 205 (3), Kanun Tanah Negara, untuk setiap satu ekar tanah pertanian yang mempunyai satu nama pemilik, ianya hanya boleh dipindahmilikkan kepada satu penerima pindahmilik sahaja.
2. Melainkan atas sebab turun milik akibat kematian. Dimana, jika berlaku kematian kepada pemilik, maka tanah tadi boleh di turun milik kepada lebih daripada seorang penama, tertakluk kepada bahagian-bahagian yang telah diputuskan dalam perintah pusaka.
3. Walau bagaimanapun dalam kes di atas, jika ayah ingin memindah milik kan 1 ekar tanah pertanian tersebut kepada anak-anaknya, dia hanya boleh memindah milik kan kepadanya 1 orang sahaja daripada 4 orang anaknya . Perkara ini mungkin dirasakan tidak adil bagi kesemua anak-anaknya.
4. Jadi cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut buat sementara waktu adalah, SI AYAH MELANTIK SALAH SEORANG DARIPADA ANAK-ANAKNA SEBAGAI PEMEGANG AMANAH.
5. Satu surat cara ikatan amanah perlulah ditandatangani oleh si ayah dan salah seorang anak tersebut sebagai pemegang amanah.
6. Surat ikatan amanah tersebut hendaklah di daftarkan di pejabat tanah sebagai rekod di kemudian hari. Dan satu nombor rujukan perserahan pejabat tanah akan direkodkan pada Surat Ikatan Amanah tersebut.
7. Si ayah kemudiannya akan memindah milikkan tanah tersebut kepada anaknya yang telah dilantik sebagai pemegang amanah tadi. Dalam geran akan ditulis nama anak tadi sebagai Pemegang Amanah.
8. Untuk melindungi kepentingan adik beradik yang lain, mereka boleh memohon supaya satu kaveat pendaftar atau kaveat amanah dimasukkan ke atas tanah tersebut.
9. Kaveat pendaftar atau kaveat amanah itu akan kekal pada tanah tersebut sehinggalah ikatan amanah tadi dibatalkan.
10. Untuk membolehkan setiap adik beradik itu mendapat bahagian masing-masing yang lebih terjamin di kemudian hari, mereka hendaklah membuat permohonan pecah bahagian dan/atau tukar syarat dengan melantik juru ukur dan memfailkan permohonan pecah bahagian dan/atau tukar syarat di pejabat tanah (tertakluk kepada syarata-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri).
11. Setelah urusan pecah bahagian dan/atau tukar syarat selesai, pejabat tanah akan mengeluarkan geran individu untuk setiap anak-anak tersebut.
12. Cuma perlu diingatkan, urusan pecah bahagian dan/atau tukar syarat ini memerlukan kos yang agak tinggi. Jika mahu jimat kos, maka prosedur pemegang amanah di atas adalah langkah alternatif buat sementara waktu yang boleh dilaksanakan. Pun begitu, ianya tidak dijamin akan melindungi hak dan kepentingan anak-anak tersebut sepenuhnya dalam jangka masa panjang.
13. Cuma sebagai pemegang amanah yang telah dilantik, beliau hendaklah bersifat adil dan jujur serta hendaklah mempastikan yang setiap adik beradik mendapat hasil dan manfaat yang sama daripada tanah tersebut.
==============================
ORIGINAL POST
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=982742598576602&id=163379327179604